Menteri Nekad Letak Jawatan Selepas Sehari Bertugas | Menteri Kewangan Sri Lanka yang baru dilantik, Ali Sabry, meletak jawatan hanya sehari selepas memegang portfolio tersebut di tengah-tengah kemelut politik yang semakin meruncing di negara itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Pelantikan Ali ke jawatan itu dibuat selepas kesemua menteri Kabinet meletakkan jawatan daripada portfolio masing-masing secara serentak, Ahad lalu.

Menerusi suratnya kepada Presiden Gotabaya Rajapaksa, Ali berkata, beliau tidak berhasrat untuk memegang sebarang jawatan lain selepas berundur daripada jawatan Menteri Kehakiman, Ahad lalu.

“Bagaimanapun, bagi mengekalkan demokrasi berparlimen dan kestabilan sistem serta pemerintahan berperlembagaan, memandangkan banyak permintaan dibuat oleh komuniti perniagaan dan menteri-menteri Kabinet, saya memutuskan untuk menerima jawatan sebagai Menteri Kewangan.

“Ia bagaimanapun hanya sebagai langkah interim sehingga penyelesaian mampan dan sepenuh masa dapat ditemui,” katanya.

Tambah Ali, langkah terkini dan proaktif perlu diambil untuk mengharungi krisis yang belum pernah berlaku di Sri Lanka itu sebelum ini.

Ali menyerahkan surat peletakan jawatan dengan perubahan status jawatan Menteri Kewangan itu berkuat kuasa serta-merta. Beliau juga sudah bersedia untuk berundur dari kerusi parlimen jika Presiden berhasrat untuk melantik seseorang dari luar parlimen.

Kabinet Gotabaya goyah selepas hampir semua menterinya meletak jawatan pada hujung minggu lalu di tengah-tengah demonstrasi anti-kerajaan yang meningkat.

Beliau menyeru semua parti pembangkang untuk bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan, namun para pemimpin pembangkang dilaporkan menolak langkah itu kerana bantahan yang semakin memuncak terhadap kerajaan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply