Menyayat Hati. Lelaki Parah Dilanggar Kereta Api.

| November 22, 2020 | 0 Comments

Menyayat Hati. Lelaki Parah Dilanggar Kereta Api. | BEAUFORT – Mayat lelaki dipercayai dilanggar kereta api ditemui orang awam di Batu 62, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di landasan kereta api serta dikerumuni oleh beberapa ekor anjing.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang daripada seorang pemandu kereta api berusia 47 tahun.

“Pemandu terbabit mengatakan dia dimaklumkan oleh Ketua Stesen Keretapi Beaufort terdapat satu mayat ditemui di landasan kereta api dipercayai dilanggar kereta api.

“Mayat itu ditemui oleh seorang lagi pemandu kereta api jenis kecil kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan dari Stesen Halogilat menuju ke Beaufort untuk mengambil barang.

“Pemandu itu memaklumkan ternampak satu objek di atas landasan kereta api yang dikerumuni beberapa ekor anjing dan selepas dihampiri, objek terbabit adalah mayat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, pemandu kereta api kecil itu kemudian menghubungi Ketua Stesen Keretapi Beaufort untuk memaklumkan kejadian itu.

“Ketua stesen kemudian memaklumkan kejadian kepada pengadu yang juga pemandu kereta api yang bertugas pada hari itu.

“Pengadu memaklumkan, pada jam 1.30 tengah hari, dia memandu kereta api dari Stesen Beaufort menuju ke Stesen Halogilat dan selepas menurunkan penumpang dia kemudian berpatah balik ke Stesen Beaufort dan tiba kira-kira jam 3 petang.

“Namun sepanjang perjalanan pergi dan balik beliau tidak mengesan sesiapa berada di landasan serta tidak menyedari pun berlaku kemalangan sehingga dimaklumkan ketua stesen,” katanya.

Azmir berkata, mangsa yang parah di bahagian leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan polis namun ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber : SH

Tags: , , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *