Modus Operandi Curi Kereta di Lembah Klang Tumpas. Polis telah menahan seorang lelaki kelmarin kerana disyaki aktif mencuri kereta di sekitar Lembah Klang. Baca seterusnya.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kelmarin kerana disyaki aktif mencuri kereta di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, bertindak atas maklumat orang ramai, pihaknya seorang lelaki yang berusia 46 tahun itu di Flat Sri Sabah, Cheras di sini pada jam tiga petang.

“Hasil tangkapan dan pemeriksaan lanjut berjaya membawa kepada rampasan lapan buah kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira, empat buah Proton Iswara, dua Proton Saga dan sebuah van,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek menyasarkan kereta lama yang diparkir di tepi jalan bagi kegunaan sendiri sebelum mengambil alatan ganti kenderaan itu untuk dijual di pasaran gelap berdasarkan permintaan pelanggan.

Jelasnya, semakan polis juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan curi kenderaan dan enam rekod dadah.

“Suspek aktif terlibat dalam kegiatan mencuri kereta di daerah Wangsa Maju, Brickfields dan Teluk Intan, Perak.

“Selain itu, suspek turut dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis syabu,” ujarnya.

Menurut Muhammad Idzam, suspek kini telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Khamis ini untuk membantu siasatan polis yang dijalankan di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau memberitahu, trend jenayah di daerah Cheras lebih cenderung kepada kegiatan mencuri kenderaan antara 1 Januari hingga 31 Mei lalu.

“Sehingga kini kita telah menerima laporan kecurian membabitkan sebanyak 157 kenderaan iaitu melibatkan 76 kereta, 71 motosikal dan 10 van serta lori.

“Kita telah menuduh seramai 20 individu dalam kes kecurian kenderaan dan siasatan selanjutnya sedang giat dijalankan bagi membanteras kegiatan itu secara tegas,” ujarnya.

Sumber: MalaysiaGazette

Share.

Leave A Reply