Seorang wanita maut, manakala suaminya mengalami kecederaan parah apabila motosikal ditunggang mereka dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah lori di Jalan Tebong berhadapan sebuah sekolah, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu berlaku ketika pasangan warga emas terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang dari bekerja menoreh getah.

Pembonceng motosikal itu, Wong Mei Lian, 61, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Alor Gajah (HAG) akibat kecederaan di kepala serta kaki, manakala suaminya, See Miong Kui, 62, dirawat di Hospital Melaka (HM) kerana patah kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata pihaknya dihubungi HAG pada jam 7.01 pagi tadi memaklumkan seorang wanita (Mei Lian) meninggal dunia dipercayai akibat kemalangan di Jalan Tebong, dan suaminya dirujuk ke HM untuk rawatan lanjut.

Berdasarkan maklumat waris si mati di HAG, beliau berkata, pasangan itu dikatakan menunggang motosikal jenis Honda dari kebun getah di Gemencheh, Negeri Sembilan, menghala ke arah Pekan Tebong kira-kira jam 4.40 pagi, dan lazimnya mereka keluar menoreh getah sekitar jam 2 hingga 2.30 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Gemencheh, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar belakang sebuah lori yang diparkir di bahu jalan di hadapan sebuah sekolah.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi adalah jalan satu lorong membabitkan dua hala dengan garisan berkembar.

“Kedudukan motosikal dipercayai sudah dialihkan dari lokasi perlanggaran pertama. Bagaimanapun, lori itu masih dalam kedudukan asal, selain terdapat serpihan kemalangan dan kesan darah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, kedua-dua mangsa beralamat di Taman Seri Hilir, Batang Melaka itu kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

“Bedah siasat mayat mangsa dijalankan di HAG, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : BH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Dua Penunggang Motosikal M4ut Langgar Kerbau

Gara-gara kerbau dua nyawa melayang dalam kejadian kemalangan di dua lokasi berasingan di daerah ini selang dua jam.

Kejadian pertama berlaku pada pukul 12.20 tengah malam semalam di Kilometer 4 Jalan Pekan-Batu Balik mengorbankan seorang lelaki manakala kejadian kedua pada pukul 2 pagi tadi di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi mengorbankan seorang pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian pertama berlaku ketika mangsa Mohd Azlan Abdul Aziz, 42, dalam perjalanan menunggang motosikal dari arah Batu Balik menghala ke Pekan.

Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R telah terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

“Akibat kejadian motosikal dinaiki mangsa terbabas jatuh ke dalam parit sebelah kanan jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya lokasi kejadian adalah jalan lurus satu lorong dua hala dan semasa kejadian tidak hujan dan lokasi kejadian gelap tanpa lampu jalan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian kedua pada pukul 2 pagi di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi berlaku ketika mangsa Muhammad Syafiq Al-Syahmi Suhaime,18, dalam perjalanan menunggang motosikal dari Taman Permata menghala ke bandar Pekan.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa telah terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

“Akibat kemalangan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan.

Katanya, bedah siasat akan dilakukan terhadap mayat mangsa selepas keputusan ujian Covid-19 diterima.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply