Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) apabila tidak lepas memotong sebuah lori di Kilometer 26, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, mangsa, Md. Zulfikal Ami Abdul Rahman, 31, yang menunggang motosikal Jenis Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan SUV jenis Honda CR-V.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang perjalanan dari arah Laloh, Kuala Krai ke Gua Musang.

Katanya, semasa di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, Md. Zulfikal Ami gagal memotong lori berkenaan lalu bertembung dengan SUV dari arah bertentangan yang sedang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pasir Puteh.

“Insiden itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azmi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

(VIDEO) Kereta Langgar Lampu Merah Rempuh Axia Hingga Terbakar

Sebuah kenderaan Perodua Axia dilaporkan terbakar selepas merempuh tiang lampu jalan akibat kemalangan di simpang berhampiran pusat beli belah Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.

Kemalangan itu difahamkan berlaku selepas kereta terbabit dirempuh dari arah berlawanan yang sekali gus menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan laluan tersebut.

Kereta berkenaan kemudiannya terbakar dan kepulan asap mula kelihatan dari jarak jauh selepas hampir keseluruhan kenderaan itu rentung dijilat api.

Dalam pada itu, suspek yang menjadi punca kejadian itu difahamkan telah melarikan diri sejurus kemalangan itu berlaku dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera dashcam dan dikongsikan di laman Facebook.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 ketika dihubungi Majoriti, mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu dan tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki dewasa sempat keluar dari kenderaannya namun gagal menyelamatkan keretanya yang terbakar dalam insiden terbabit.

Difahamkan, kemalangan itu berpunca akibat tindakan suspek yang melanggar lampu isyarat selepas dilihat memandu dengan laju di laluan tersebut.

Di ruangan komen, warganet mengecam perbuatan serta sikap mementingkan diri suspek langgar lari berkenaan.

“Sikap pemandu tak bertanggungjawab macam ini yang sering menyusahkan ramai pihak, dah langgar lampu isyarat lepas tu langgar pemandu lain pula,” kata Nor Hakimi.

“Kalau dah langgar orang sekurang-kurangnya berhenti la jangan terus pecut sudahnya polis akan siasat juga nanti,” jelas Paan Aqil.

“Pentingnya setiap pemandu untuk simpan alat pemadam api kecil dalam kereta, kalau terjadi kebakaran macam itu boleh juga selamatkan kereta,” tambah Syahir Zaki.

Punca sebenar kebakaran masih belum diketahui dan pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut dengan siasatan masih dijalankan terhadap suspek yang meloloskan diri.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply