Motosikal Terbabas, Polis Bantuan Maut Digilis

| November 17, 2020 | 0 Comments

Motosikal Terbabas, Polis Bantuan Maut Digilis | Kuala Langat – Seorang polis bantuan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum digilis sebuah kereta di Kilometer 21, Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Arif Asyraf Abdul Manaf, 31, yang bekerja di syarikat Amsteel meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dalam perjalanan ke Banting dari Klang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan.

“Akibat pelanggaran tersebut mangsa telah terjatuh ke jalan raya sebelum sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 59 tahun gagal mengelak sebelum menggilis mangsa.

“Mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi telah dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambah Azizan, pemandu kereta yang merupakan pekerja pendawaian elektrik tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *