ALOR GAJAH – Seorang wanita warga emas maut, manakala suaminya cedera selepas motosikal yang mereka tunggang terbabas gara-gara terlanggar seekor monyet di Jalan Lubok China, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Mesah Puteh, 50, yang membonceng meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon kuning Hospital Alor Gajah.
Suaminya, Jais Hussin, 76, bagaimanapun hanya mengalami luka ringan di kaki dan dirawat di zon hijau hospital sama.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan dari arah pekan Lubok China untuk pulang ke rumah di Ramuan China Kechil.
“Setiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y100 telah melanggar seekor monyet dan terbabas ke kiri jalan serta mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak hospital bagaimanapun memaklumkan bahawa pembonceng wanita berkenaan telah meninggal dunia pada pukul 1.59 petang hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Seorang Lelaki M4ut Dirempuh & Diseret Oleh 2 Individu.
MELAKA – Seorang pesara kerajaan maut selepas dirempuh sebuah kereta gara-gara menegur muzik dipasang dua individu di dalam kenderaan tersebut terlalu kuat di Plaza Pandan Malim di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun disahkan meninggal dunia selepas 11 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Menurut anak mangsa berusia 20-an, kejadian berlaku selepas dia dan bapanya menegur dua lelaki menaiki kereta jenis Perodua Axia yang memasang muzik terlalu kuat di kawasan rumahnya di Kampung Padang dekat sini.
“Pada pukul 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi muzik yang sangat kuat dari sebuah kereta Axia dan kami keluar menegur mereka untuk beredar.
“Kedua-dua mereka pada awalnya beredar, namun datang semula beberapa minit kemudian dengan membuat beberapa pusingan sambil memasang muzik kuat membuatkan kami keluar semula untuk menegur,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ujarnya, dia bagaimanapun tidak menyangka pemandu tersebut cuba melanggarnya sehingga terpaksa berlari ke arah belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berdekatan untuk menyelamatkan diri.
“Kereta itu kemudian dilihat berpusing menuju ke arah ayah dan bertindak melanggar serta menyeretnya sejauh kira-kira 20 meter ke belakang kedai,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga sempat melihat ayahnya berpaut di atas bonet kereta tersebut sebelum terjatuh dalam keadaan berlumuran darah.
“Kedua-dua mereka yang dipercayai dalam keadaan mabuk telah melarikan diri, ayah pula disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang ketika dirawat di hospital, kini tinggal kami tujuh beradik dan ibu.
“Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut dan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun.
Katanya, pihak polis bagaimanapun masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber : KMN