Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa lupa bahawa beliau yang cuba bertahan lama sehingga minta darurat dan gantung Parlimen semasa pentadbirannya.
Malah dakwa Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, Muhyiddin pernah cuba untuk menyambung darurat tetapi ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Mengulas kenyataan Muhyiddin di Parlimen semalam, Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendakwa, Ahli Parlimen Pagoh itu ingat beliau perdana menteri paling popular.
”Dijaja ke sana ke mari. Akhirnya boleh bertahan 17 bulan sahaja. Sempat buat banyak kerosakan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam sesi perbahasan semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, rakyat akan bertindak balas terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya aktiviti mencipta pelbagai tuduhan terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak dihentikan segera.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meramalkan perkara itu akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sekali gus menyaksikan PN merampas enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Muhhyiddin turut mendakwa pentadbiran kerajaan hari ini nampak berniat jahat dengan membuat tuduhan yang tidak berlaku kononnya berlaku pelbagai penyelewengan semasa beliau menjadi perdana menteri.
”Saya perhatikan kepimpinan kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan-tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud,” katanya lagi.
“Hanya ini yang saya cakap, ini tidak adil. Kamu fikir boleh bertahan selama-lamanya?” soalnya.
Mohd Puad menyifatkan kenyataan Muhyiddin memang keras.
“Nada orang marah dan beremosi. Muhyiddin tunjuk berani walaupun bimbang dirinya mungkin didakwa,” ujar beliau.
Sumber : MalaysiaGazette
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Muhyiddin Minta Kerajaan Pertimbang Pengeluaran KWSP & Moratorium
Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.
Beliau berkata ia termasuk mempertimbangkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman bank.
“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan.
“Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini,” katanya pada sesi perbahasan Titah Diraja di Persidangan Parlimen di sini hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berkata bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis, justeru adalah wajar jika bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban akibat kesan inflasi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Sementara itu Muhyiddin berkata dasar mengenai Bumiputera adalah satu lagi perkara penting yang mesti diberikan keutamaan oleh kerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata dalam konteks hari ini sebahagian besar daripada golongan B40 yang telah menjadi B60, adalah Bumiputera.
“Sebuah negara majmuk dan berbilang kaum tidak akan stabil dan makmur sekiranya kaum majoriti berada dalam kelompok miskin dan berpendapatan rendah dengan jurang kaya miskin semakin melebar.
Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dengan melakukan semak dan imbang secara konstruktif.
“Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan kami dengan penuh berintegriti dan menjunjung prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil. Mana-mana dasar yang baik kami sokong. Mana-mana dasar yang memberi mudarat kepada rakyat kami tentang,” katanya.
Sumber : KMN