Nahas Helikopter. “Ayah Ada Hubungi Telefon Ibu 9 Kali”.

| November 9, 2020 | 0 Comments

Nahas Helikopter. “Ayah Ada Hubungi Telefon Ibu 9 Kali”. | Subang Jaya: “Sebelum kejadian, ayah ada menghubungi ibu sebanyak sembilan kali, namun panggilannya tidak dijawab kerana kami tidak perasan,” ujar Farid Ridhuwan, 15, anak sulung kepada Allahyarham Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, mangsa nahas helikopter terhempas di Jalan Melawati, Ampang, semalam.

Farid berkata, ibunya, Wan Nani Fazlin Wan Mahmud, 44, cuba menghubungi ayahnya semula selepas itu namun gagal.

“Sebelum nahas helikopter antara jam 10 hingga 11 pagi semalam, ayah ada menghubungi ibu melalui panggilan telefon, namun tidak diangkat kerana ibu tidak perasan.

“Apabila ibu cuba menghubunginya semula, ayah tidak dapat dihubungi sebelum ibu melihat berita di Facebook berhubung helikopter terhempas,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, tadi.

Menurut Farid, kali terakhir dia bertemu ayahnya adalah pada malam sebelum kejadian.

“Ayah keluar rumah kira-kira jam 8 pagi. Sebaik saya bangun tidur, ayah sudah tiada di rumah.

“Jika diikutkan perancangan asal, kami sekeluarga sepatutnya pergi memancing petang semalam. Namun, ini pula yang terjadi.

“Memang agak sukar untuk kami sekeluarga menerima pemergian ayah kerana dia sentiasa ada di sisi kami.

“Bagi saya, dia seorang ayah yang kuat berusaha dan tidak pernah menunjukkan kesusahan dialaminya dalam membesarkan kami. Apa yang sering dilihat pada wajahnya hanyalah senyuman,” katanya.

Terdahulu, jenazah Mohd Irfan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, jam 5 petang tadi.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *