Nahas Lapan Kenderaan, Penunggang Motor Maut, Empat Cedera | REMBAU – Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Muhammad Alif Danial Muhamad Zamri, 22, yang menunggang motosikal Yamaha Y16ZR maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan menunggang motosikal dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang.
“Namun sampai di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Nissan Almera.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang bahagian kiri manakala rakan-rakannya yang mengekori rapat turut hilang kawalan dan terjatuh ketika cuba mengelak mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kemudian datang sebuah kereta Toyota Yaris dipandu wanita berusia 35 tahun cuba mengelak Nissan Almera yang berhenti di lorong kanan akibat pelanggaran dengan motosikal mangsa, namun dirempuh pula sebuah Perodua Myvi.
Tambahnya, empat rakan mangsa yang berusia antara 18 hingga 20 tahun cedera manakala kesemua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Jentera Bomba Kemalangan Dengan Tiga Kenderaan
Petaling Jaya: Jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di susur masuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Puchong, hari ini.
Polis yang menerima laporan kemalangan pada jam 11.38 pagi dimaklumkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan terdiri daripada sebuah jentera bomba jenis Scania P310, Perodua Myvi dan Toyota Vios.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, jentera terbabit dalam perjalanan menghala ke Bahagian Kejuruteraan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Lumpur di Bandar Kinrara untuk proses dibaik pulih.
“Kemalangan dipercayai berpunca tindakan pemandu Perodua Myvi yang keluar dari susur sebelah kiri terus masuk ke laluan jentera bomba dan berlaku pelanggaran.
“Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi terbabas ke tengah laluan dan melanggar sebuah Toyota Vios. Semua pemandu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, jentera bomba itu digunakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.
“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Nik Mohd Fazrin Abd Halim di talian 019-7838911 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber: Harian Metro