Nahas Tiga Kenderaan, Dua wanita Maut Dalam Kemalangan | Dua wanita maut dikatakan terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang Taman Semarak, Jalan Kuhara, di sini, petang Sabtu.

Nahas Tiga Kenderaan, Dua wanita Maut Dalam Kemalangan

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Suwati Sugio, 50, dan seorang lagi dikenali sebagai Nurfaizah, 20, maut di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan dua pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser serta Toyota Revo.

Katanya, ketika kejadian pemandu Proton Saga lelaki berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah Jalan Chong Thein Vun menuju ke Taman Semarak.

Tambahnya, ketika sedang masuk simpang, kenderaan Toyota Land Cruiser yang datang dari arah Gudang 4 cuba mengelak namun akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu terbabit melanggar bahagian depan Proton Saga.

Jelasnya, akibat kejadian itu, pacuan empat roda terbabit terbabas lalu terseret memasuki laluan bertentangan sejauh kira-kira 26 meter sebelum bertembung dengan sebuah lagi kenderaan lain iaitu Toyota Revo.

Tambah beliau, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang di dalam kenderaan Toyota Land Cruiser maut manakala selebihnya cedera.

Difahamkan, tiga mangsa yang cedera masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tawau manakala empat yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Peter berkata, siasatan lanjut kemalangan itu mendapati berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga ketika masuk ke simpang jalan.

Pemandu terbabit ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply