Naik Bas Untuk Pecahkan Mesin Deposit Tunai (CDM). |Balik Pulau: Seorang lelaki sanggup menempuh perjalanan 22 kilometer (km) sebelum cuba memecahkan mesin deposit tunai dan pengeluaran wang (CDM) di sebuah bank di Lintang Bukit Penara di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 39 tahun itu sia-sia, selepas dia diberkas di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penolong pengurus bank selepas sistem penggera keselamatan berbunyi, jam 9.40 malam.

“Anggota polis yang bergegas ke lokasi kemudian berjaya menahan suspek,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan secara berseorangan selepas menaiki bas dari Georgetown ke Balik Pulau.

“Suspek menggunakan penyerap kejutan (absober) kereta bagi memecahkan mesin berkenaan namun tidak berjaya.

“Wang tidak berjaya dilarikan, hanya bahagian luar mesin itu mengalami kerosakan ,” katanya di sini, hari ini.

Menurul Kamarul Rizal lagi, suspek yang masih bujang didapati mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek juga berada di bawah pengaruh dadah dan dipercayai melakukan kegiatan itu akibat tekanan hidup.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply