Najib Dapat Pengiring Walaupun Disabit Rasuah, KPN Jawab Kecaman. | Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah tampil menjelaskan keistimewaan yang diberikan kepada semua bekas perdana menteri selepas beberapa hantaran di media sosial mempertikaikan perkhidmatan pengiring kepada Najib Razak walaupun disabitkan beberapa kesalahan rasuah.

Najib Dapat Pengiring Walaupun Disabit Rasuah, KPN Jawab Kecaman.

Acryl berkata polis tertakluk kepada undang-undang menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan dan trafik kepada bekas perdana menteri di bawah peruntukan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237).

“Buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada kesemua bekas perdana menteri Malaysia,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Mana-mana bekas perdana menteri yang berhadapan tindakan undang-undang, PDRM akan kekalkan kelayakan kemudahan khidmat pengiring keselamatan dan trafik kepada mereka, sehingga proses rayuan dimuktamadkan oleh mahkamah.”

Najib merupakan satu-satunya bekas perdana menteri yang disabitkan dengan tuduhan jenayah.

Beliau didapati bersalah tahun lalu atas tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sekali gus dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Bekas perdana menteri itu juga turut didenda RM210 juta atas pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International.

Bagaimanapun, beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Selain pertikaian terhadap khidmat pengiring bagi Najib, media sosial turut hangat membahaskan laporan permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan rumah percuma di kawasan mewah Kuala Lumpur diluluskan Putrajaya.

Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan bahawa kerajaan akan membina sebuah rumah untuk Najib sebagai sebahagian daripada keistimewaan yang diberikan kepadanya di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan).

Rumah tersebut dianggarkan bernilai RM100 juta termasuk nilai tanah kosong di Bukit Petaling, sebuah kejiranan mewah yang terletak pusat bandar ibu negara.

Sumber: MalaysiaNow

Share.

Leave A Reply