Nasib Malang Buat Pelajar Tingkatan 4! Mati Ditekup Bantal Oleh Sang Kekasih Percintaan seorang pelajar perempuan dengan seorang penganggur berakhir dalam keadaan tragis apabila mati ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya sendiri. Baca seterusnya.

KLANG – Hubungan percintaan seorang pelajar perempuan dengan seorang penganggur berakhir dalam keadaan tragis apabila mati ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya sendiri dalam kejadian di Kampung Idaman, Pandamaran di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku selepas mangsa berusia 16 tahun telah dibawa kekasihnya berusia 24 tahun ke rumahnya menggunakan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut terbongkar apabila suspek berusia 24 tahun telah mengetuk pintu bilik tidur ibu bapanya selepas mengangkat mangsa dari biliknya ke halaman rumah.

Katanya, semasa kejadian terdapat seorang lagi abang suspek yang tidur di rumah suspek dan tiada bunyi bising didengari ahli keluarga suspek semasa berlakunya kejadian pembunuhan tersebut.

“Ahli keluarga suspek yang terkejut dengan kejadian tersebut kemudiannya telah menghubungi pihak polis.

“Pegawai Perubatan yang kemudiannya tiba ke lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kata beliau, berdasarkan siasatan mendapati mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya selepas ibu bapa mereka bercerai.

Ujar Hoong Fong, siasatan lanjut mendapati suspek dan mangsa telah bercinta selama setahun dan diketahui antara keluarga masing-masing.

“Berdasarkan siasatan awal berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa di bilik tidur tersebut dan suspek juga pernah membawa mangsa ke rumahnya beberapa kali sebelum ini,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.

Tegasnya, bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup.

“Suspek yang ditangkap di lokasi kejadian kini direman sehingga 3 Julai ini dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau,” ujarnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply