Nazri Dakwa Terima RM500,000 Untuk Tujuan Derma Sekolah Agama. | Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas menteri pelancongan dan kebudayaan Nazri Abdul Aziz menerima sumbangan RM500,000 untuk pemulihan sekolah agama di Pattani, Thailand daripada pengarah syarikat yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Nazri Dakwa Terima RM500,000 Untuk Tujuan Derma Sekolah Agama.

Namun Nazri yang menjadi saksi pendakwaan ke-14 menegaskan wang tersebut tiada kaitan dengan kes rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Nazri dalam keterangannya berkata, dia menerima sumbangan itu daripada pengaah eksekutif kanan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Zarul merupakan saksi pendakwaan utama dalam perbicaraan ini.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, Nazri menjelaskan ketika siasatan terhadap kes itu, dia memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa dia tidak pernah menerima wang daripada Zarul berkaitan kes itu.

Namun dia berkata yang ada menerima wang daripada Zarul untuk membaiki sekolah agama yang dalam keadaan daif di Pattani.

Gobind: Untuk rekod, Zarul tidak pernah beri anda sebarang wang?

Nazri: Dia beri saya sumbangan untuk diberikan kepada sekolah agama di Pattani.

Gobind: Anda terima RM500,000 daripada Zarul?

Nazri: Untuk sumbangan kepada sekolah agama.

Gobind: Untuk kes (rasuah terhadap Lim) ini, adakah anda terima sebarang bayaran?

Nazri: Tidak.

Ketika pemeriksaan semula dengan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Nazri menjelaskan dia terlibat dalam pelbagai usaha derma untuk membantu sekolah-sekolah tersebut kerana ramai orang Melayu di Ulu Perak berasal dari keturunan Pattani.

“Saya dari Ulu Perak. Ramai orang Melayu di sana ada keturunan Pattani. Saya sudah berkunjung ke Pattani sejak 1975. Keadaan sekolah pondok di sana agak daif.

“Sejak 1990-an, saya mulakan (pelbagai) usaha kutip dana untuk salurkan sumbangan bagi membaiki sekolah-sekolah ini. Saya sendiri orang Melayu dengan keturunan Pattani,” katanya.

Nazri perkenal Zarul kepada Lim

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama dengan Wan Shaharuddin, ahli parlimen Padang Rengas itu berkata dia membantu Zarul untuk bertemu Lim bagi sebuah projek – yang tidak dinyatakan secara khusus – di Pulau Pinang.

Menurut Nazri, dia telah kenal kedua-duanya sejak 1990-an – Lim menerusi penglibatan dalam politik dan Zarul atas kapasiti peribadi.

“Pada mulanya, Zarul beritahu saya dia mahu diperkenalkan dengan seseorang yang ‘berkuasa’ di Pulau Pinang untuk membantunya melaksanakan sebuah projek, tetapi dia tidak beritahu projek apa pada masa itu.

“Selepas itu, saya ambil inisiatif untuk hubungi Lim, dan beritahunya yang seseorang mahu berjumpanya berkaitan sebuah projek di Pulau Pinang. Lim setuju untuk jumpa Zarul.

“Saya kemudian aturkan pertemuan antara Lim dan Zarul pada awal Januari 2011 di Hotel Shangri-La.

“Saya beritahu Zarul yang Lim setuju untuk berjumpanya pada Januari 2011 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Saya tak ingat tarikh secara tepat,” katanya lagi.

Dia berkata selain daripada memperkenalkan Zarul kepada Lim di sebuah pub di hotel tersebut pada masa itu, dia tiada sebarang urusan lain dengan Lim.

Menurut Nazri, dalam pertemuan sejam yang turut disertainya itu, dia tidak ingat apa yang dibincangkan kedua-dua mereka.

“Saya tidak ingat jika Zarul meminta Lim untuk pilih syarikatnya dalam mana-mana projek di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Ketika pemeriksaan balas dengan Gobind, Nazri setuju yang bukan sesuatu yang di luar kebiasaan untuk Zarul meminta bantuannya untuk bertemu Lim dan pertemuan itu yang dibuat di luar waktu pejabat.

Katanya, ini kerana mereka adalah ahli parlimen dan memegang jawatan dalam pentadbiran, serta memiliki jadual yang padat.

Sumber: MalaysiaKini

Share.

Leave A Reply