Neelofa Dan Suami Mengaku Tidak Bersalah Langgar SOP | Selebriti dan usahawan terkenal Neelofa dan suaminya telah dihadapkan ke mahkamah pada pagi ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Neelofa Dan Suami Mengaku Tidak Bersalah Langgar SOP

Selebriti itu telah didakwa dengan satu pertuduhan iaitu gagal mengimbas mengimbas aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon ketika masuk ke sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada kira-kira 4 petang, 2 Mei lalu.

Suaminya pula yang lebih dikenali sebagai PU Riz didakwa dengan dua pertuduhan iaitu gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam iaitu pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan bagi kedua-duanya dibuat bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021. Pasangan tersebut masing-masing boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah  atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mahyun Yusoff dan meminta dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi Neelofa dan RM20,000 bagi PU Riz.

Peguam yang mewakili pasangan tersebut, Haresh Mahadevan menegaskan kes berkenaan sepatutnya tiada bon jamin kerana ia bukan kes jenayah. Mahkamah kemudian memerintahkan Neelofa membayar jaminan RM5,000 manakala PU Riz dikehendaki membayar RM10,000.

Mahkamah menetapkan 4 Jun 2021 bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Sebelum ini, pasangan itu mencetuskan kemarahan warganet kerana didakwa merentas negeri untuk membeli karpet pada 2 Mei lalu, seperti yang dilihat dalam gambar dan video yang dimuat naik Neelofa sendiri di media sosial.

Sumber: Free Malaysia Today

Share.

Leave A Reply