Negeri Sembilan: Polis Nafi Berlaku Cubaan Culik Di Pusat Jagaan Kanak-kanak | Polis Negeri Sembilan dilaporkan tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian cubaan menculik kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini.

Negeri Sembilan: Polis Nafi Berlaku Cubaan Culik Di Pusat Jagaan Kanak-kanak

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, pihaknya menafikan kejadian berkenaan, ekoran tular satu klip video yang dimuat naik satu laman Facebook menggunakan nama ‘Negeri Sembilan’.

Jelasnya, pihak mereka sudah membuat semakan dan mendapati tiada apa-apa laporan kejadian seumpama itu berlaku di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

Pihak polis percaya bahawa kejadian yang tular itu bukan berlaku negeri ini, katanya.

Sejak semalam, tular di laman sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian cubaan culik oleh dua lelaki memakai topi keledar dan menaiki sebuah motosikal.

Dalam video berdurasi 3 minit itu, seorang daripada lelaki pada mulanya berpura-pura bertanyakan arah manakala seorang lagi menunggu di motosikal sambil memerhatikan sekeliling.

Video itu dimuat naik di satu ‘page’ yang mempunyai kaitan dengan Negeri Sembilan sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada berlaku di negeri itu atau sebaliknya memandangkan tiada lokasi disertakan pada keterangan video.

Justeru itu, Muhammad Izzudin menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memuatnaik hantaran di laman sosial terutamanya yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, pihak polis menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan masyarakat juga diingatkan untuk tidak berkongsi sesuatu yang tidak pasti kesahihannya.

Beliau meminta aga orang ramai juga dinasihatkan terus membuat laporan sekiranya mengesan ataupun mempunyai maklumat mengenai sebarang kes jenayah.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply