Nelayan Didakwa Rosakkan Kerusi Rumah Dan Cederakan Isteri | Seorang nelayan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas dua tuduhan mencederakan isteri dan merosakkan kerusi di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Ujong Pasir.

Jason Pereira, 51, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Sathi Anak Uncha, 48, dengan cara mencengkam bahagian muka dan menekan penumbuk di mulut mangsa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta iaitu kerusi kayu bernilai RM50 hingga patah.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Pasir Puteri Jalan Day Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini, pada jam 8.40 malam, 10 Januari 2022.

Pendakwaan dikendalikan, J Banusha yang mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati atau mengganggu saksi dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel Lain

Lelaki Dipenjara 5 Tahun 6 Bulan, Cederakan Isteri Enggan ‘Bersama’

MELAKA – Padah mencederakan isteri yang enggan melakukan hubungan seks akhirnya seorang lelaki menerima balasan setelah dijatuhi hukuman penjara.

pukul isteri

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen berasingan di sini, pada Khamis.

Tertuduh V Murugan, 30, dijatuhkan hukuman itu di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin atas empat pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama Murugan didapati dengan sengaja mencederakan isterinya, A M Saraswathi, 24.

Tertuduh dipercayai mencederakan isterinya dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

Dia turut mencederakan anak lelakinya, M Sivaneswaran berusia enam tahun dengan memukul bahu kanan mangsa menggunakan wayar USB telefon.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati telah menakutkan isterinya secara jenayah berbentuk ugutan.

Tertuduh menakutkan mangsa dengan meletakkan sebilah parang di leher mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 6 petang di sebuah rumah di Ujong Pasir di sini, pada 9 Oktober 2021.

Dalam pertuduhan keempat, tertuduh yang bekerja di kedai besi buruk didapati sekali lagi telah mencederakan isterinya.

Tertuduh menendang mangsa di bahagian dada sehingga wanita itu terjatuh kira-kira jam 10 pagi, pada keesokkan harinya.

Bagi perbuatan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dan enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N Sivashangari.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa dalam keadaan mabuk dan bertindak mengugut serta memukul isteri selepas berang mangsa enggan melakukan hubungan seks.

Anak tertuduh yang melihat kejadian itu menjerit sebelum turut dipukul menggunakan wayar USB telefon.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply