Nelayan Jatuh Bot Ditemui Maut Di Pantai Pulau Jerejak | Seorang nelayan yang dikatakan terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong di sini petang Sabtu lalu ditemui maut di pantai Pulau Jerejak, di sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi (PUSOP) menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat disyaki lelaki terdampar di pantai Pulau Jerejak sekitar pukul 12.45 tengah hari semalam.

“Hasil maklumat yang diterima, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan kemudiannya diserahkan kepada anggota Balai Polis Sungai Nibong sebelum dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal yang diterima daripada pihak polis, mangsa, Mohd. Shahrul Mansor, 37, beralamat di Simpang Empat, Pulau Pinang dipercayai telah terjatuh dari sampan ketika cuaca buruk di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

“Ini adalah berdasarkan laporan polis yang diterima oleh Balai Polis Jelutong selepas kejadian tersebut dan pihak Maritim Malaysia tidak mendapat sebarang makluman awal berhubung kejadian ini,” jelasnya.

Semalam, tular di media sosial mengenai seorang nelayan yang dikatakan terjatuh di laut ketika keluar menangkap ikan. Mangsa merupakan bapa kepada dua cahaya mata berusia 12 dan 13 tahun.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply