NGERI. Lelaki Maut Ditetak Ketika Menjamu Selera | JOHOR BAHRU: Seorang penganggur maut selepas ditetak sekumpulan lelaki ketika sedang makan di kawasan Taman Tampoi Indah, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Rupiah Abd Wahid berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira 8.10 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 29 tahun itu diserang empat lelaki bertopeng yang disyaki bersenjatakan parang dan menaiki kereta Honda Accord berwarna putih yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

“Mangsa yang cedera di bahagian kepala, tangan dan kaki serta seluruh badan dibawa ke Hospital Pakar Puteri untuk rawatan namun disahkan telah meninggal dunia.

“Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat, ” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rupiah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah JBU di talian 07-5563 122 atau pegawai penyiasat ASP Zawanah Raimi Mokhtar di talian 012-7744 544.

SUMBER : Astro Awani

Share.

Leave A Reply