Padah Berlumba, Dua Remaja Maut Motosikal Bertembung | Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba itu sendiri. Lumba haram sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya di kalangan pelumba haram motosikal.

Padah Berlumba, Dua Remaja Maut Motosikal Bertembung

Dua remaja lelaki maut, selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dipercayai ketika sedang berlumba haram di Landasan Lapangan Terbang Lama Tawau, petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada jam5.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Mohamad Ekhsan, 16, dan Rendy Salombe,15, masing-masing dari Kampung Seri Menanti dan Kampung Tanjung Batu Darat, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal yang ditunggang mangsa bertembung sesama sendiri dari arah yang bertentangan.

“Selain tidak memiliki lesen, ketika kejadian kedua-dua penunggang juga tidak memakai topi keledar dan adalah disyaki mereka terbabit dalam aktiviti lumba haram,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik sebenar salah sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan berikutan alamat pemilik berdaftar adalah di daerah Semporna.

Sementara itu, katanya, ujian saringan Covid-19 mengesahkan salah seorang mangsa didapati positif wabak itu. Bagaimanapun, sampel darah mereka telah diambil untuk dianalisa dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, sejak malam tadi tular di media sosial rakaman menunjukkan kejadian kemalangan membabitkan dua motosikal dengan kedua-dua mangsa masing-masing terbaring di atas permukaan jalan.

Difahamkan, sebelum ini lokasi kejadian kerap digunakan untuk aktiviti dan penganjuran sukan permotoran termasuk “drag race.”

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply