Padah Cemburu, Isteri Cedera Dipukul Suami! Akibat cemburu, lelaki bertindak memukul isterinya dengan kayu di sebuah ladang kelapa sawit di Layang-Layang. Baca selanjutnya.

KLUANG: Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan polis selepas dipercayai memukul isterinya dengan kayu dalam kejadian yang berlaku di sebuah ladang kelapa sawit di Layang-Layang, dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek yang bekerja sebagai penjual air bertindak demikian kerana disyaki cemburu terhadap isterinya yang berusia 42 tahun.

“Pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 12.51 tengah hari, satu kejadian mendatangkan kecederaan melibatkan seorang wanita oleh suaminya berlaku di Ladang Sindora, Layang-layang.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dibantu anggota Balai Polis Layang-Layang berjaya menahan suspek kira-kira pukul 3 petang, semalam.

Katanya, polis merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

“Hasil semakan mendapati tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu),” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman tersebut,” katanya.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply