Padah Cuba Mencuri Bekalan Elektrik, Seorang Lelaki Maut | Malang tidak berbau itulah pepatah yang sesuai digambarkan apabila seorang lelaki menemui ajal akibat daripada terkena renjatan elektrik ketika dia mencuba untuk mencuri bekalan elektrik.
Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri bekalan elektrik di belakang sebuah kilang berhampiran penempatan setinggan Kampung Lembaga Padi,di sini,kelmarin.
Kejadian disedari oleh pekerja kilang itu kira-kira jam 10.30 pagi selepas menemui seorang lelaki terbaring sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dalam keadaan terbaring di dalam parit belakang kilang berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditemui dengan tangan kanannya menggenggam kabel elektrik untuk mencuri kuasa elektrik.
“Menurut saksi yang juga pekerja kilang berkenaan, mereka ada terdengar suara dua hingga tiga orang di belakang kilang, kira-kira jam 3 pagi.
“Pada sebelah pagi, saksi mendakwa ternampak seorang lelaki terbaring di parit dan terus memaklumkan kepada pengurus kilang” katanya dalam kenyataan, hari ini.
George berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak kabel yang dipercayai digunakan untuk mencuri kuasa elektrik termasuk penyambungan ke tiang elektrik di luar kilang berkenaan.
Katanya, pihak SESB kemudia dihubungi untuk mematikan aliran elektrik di kawasan berkenaan.
“Pegawai perubatan daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) yang hadir mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian.
“Siasatan di tempat kejadian juga tidak menunjukkan sebarang tanda perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian si mati,”katanya.
George berkata, mayat mangsa sudah dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklarifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Berita Harian