Lima lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di tapak pasar pagi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah, Ampang dekat sini, baru-baru ini.

Padah Gaduh Di Tapak Pasar, 'Ini' Nasib Yang Bakal Dihadapi 5 Suspek

Kejadian disedari sepasukan anggota pasukan polis peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu, kira-kira jam 12.35 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata kesemua yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 44 tahun.

Jelasnya, seorang daripada mereka cedera lebam pada muka serta dahi dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, hasil soal siasat awal mendapati pergaduhan berpunca daripada isu sewa kereta yang tidak dipulangkan.

Katanya, polis turut merampas dua telefon bimbit dan semakan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau.

Difahamkan, beliau memberitahu kelima-lima suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply