Padah Khianat Simbah Cat, Suami Isteri Didakwa | Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman sebuah rumah, tahun lalu.

Suami isteri, Yaw Chern Fong, 26, (kanan) dan Phang Siew Wei, 44, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN

Tertuduh, Yaw Chern Fong, 26, dan isterinya, Phang Siew Wei, 44, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman rumah milik seorang wanita membabitkan kerugian kira-kira RM200.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Jalan Sentosa 10, Taman Sentosa di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, 30 Disember 2022 itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong memberitahu mahkamah perbuatan kedua-dua tertuduh itu kesalahan yang tidak boleh dijamin, malah dua tertuduh itu mungkin akan mengganggu mangsa jika dibenarkan ikat jamin.

Beliau berkata bahawa sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin terhadap mereka, pihak pendakwaan menawarkan jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM20,000 setiap seorang.

Peguam P Thomasjayaraj yang mewakili pasangan berkenaan kemudian memohon jumlah jaminan yang lebih rendah, atas alasan anak guamnya itu mempunyai tanggungan iaitu empat orang anak yang masih kecil.

Beliau juga berkata bahawa mereka bekerja sendiri untuk mendapatkan pendapatan bagi menanggung keluarga. Bapa kepada tertuduh kedua (Chern Fong) akan menjadi penjamin dan diharap jumlah jaminan yang dibenarkan tidak membebankan mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari depan.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

3 Individu Melayu Ditahan Ambil Upah Dari Ah Long Simbah Cat

KULAI – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita pada Selasa kerana terlibat mengambil upah daripada along untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan tiga serbuan berasingan dan menahan tiga suspek warga tempatan.

“Menerusi tiga serbuan antara jam 9 pagi hingga 2.30 petang kelmarin, dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun serta seorang wanita berusia 43 tahun ditahan sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

“Masing-masing ditahan di rumah dan tepi jalan kerana terlibat kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan daerah Kulai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.

“Hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah ini dengan bayaran RM1,300.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai,” ujar beliau.

Menurut Beng Yeow, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan semua mereka direman enam hari bermula Rabu sehingga 16 Januari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply