Padah Lumba Haram, 30 Kenderaan Disita Dan 5 Remaja Ditahan

| April 11, 2021 | 0 Comments

Padah Lumba Haram, 30 Kenderaan Disita Dan 5 Remaja Ditahan | Isu lumba haram dalam kalangan remaja bukanlah satu  isu yang baru dalam masyarakat kita bahkan ia seolah-olah menjadi satu tradisi buat golongan ini untuk menunjukkan siapa lagi hebat. Hal yang sama turut terjadi kepada lima remaja ini namun tindakan tersebut hanya mengundang padah apabila mereka ditahan dan kenderaan disita.

Padah Lumba Haram, 30 Kenderaan Disita Dan 5 Remaja Ditahan

Kuantan: Polis telah menahan seramai 5 orang remaja dan menyita 30 kereta yang dipercayai terbabit dengan kegiatan aktiviti lumba haram dalam operasi di Taman Perindustrian Indera Mahkota 14 dekat sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, berkata operasi tersebut memakan masa selama tujuh jam bermula daripada jam 5 petang.

Hasil daripada operasi tersebut pihak polis mendapati lima remaja berkenaan memandu tanpa lesen dan laluan sepanjang 250 meter di taman itu sering dijadikan litar bagi pelumba haram beradu kelajuan.

“Dua kereta akan dilepaskan serentak bagi menentukan kenderaan mana yang paling laju untuk diumumkan sebagai pemenang. Semua kenderaan terbabit didapati melakukan pengubahsuaian pada enjin dan bahagian dalaman bagi membolehkan pemandunya mencapai kelajuan maksimum,”katanya.

Menurut Bakri siasatan sedang dilanjutkan untuk mengenal pasti sama ada perlawanan itu mempertaruhkan wang kerana pihak polis percaya ia bukanlah kali pertama dianjurkan.

Operasi berkenaan membabitkan tujuh orang pegawai dan 25 anggota JSPT  Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan.

Polis juga turut menyoal beberapa kanak-kanak dan wanita yang dipercayai ahli keluarga yang dibawa bersama-sama untuk menyaksikan perlumbaan itu, sebelum mereka dilepaskan selepas proses dokumentasi, katanya.

Bakri berkata siasatan akan dijalankan atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah yang memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM 5,000 atau penjara maksimum selama enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, polis juga akan menyiasat sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa di Pahang.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *