Padah Memandu Mabuk, Wanita Rempuh Peralatan Sekatan Jalan Raya | Masih lagi kes pemandu mabuk, terbaru seorang wanita yang juga pakar kecantikan memandu dalam keadaan sedang mabuk merempuh peralatan sekatan jalan raya. Baca selanjutnya..

DITAHAN PANDU MABUK

Petaling Jaya – Seorang wanita yang juga pakar kecantikan ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh peralatan sekatan jalan raya di laluan keluar Tol Damansara di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, wanita yang berusia 32 tahun itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, wanita berkenaan merupakan seorang pakar kecantikan di sebuah pusat kecantikan di sekitar Puchong.

“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk menjalani ujian pernafasan alkohol kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

“Hasil ujian tersebut mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beberapa peralatan turut mengalami kerosakan akibat rempuhan tersebut.

“Dalam kejadian rempuhan tersebut, beberapa peralatan telah mengalami kerosakan seperti papan tunjuk arah, kon dan lampu biru sekatan jalan raya,” jelasnya.

Suspek telah diberi jamin polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply