Padah Tanggal Gelang Kuarantin Sendiri, Pemuda Dikompaun Guna Helah Mahu Beli Makanan Di Luar

| May 30, 2021 | 0 Comments

Padah Tanggal Gelang Kuarantin Sendiri, Pemuda Dikompaun Guna Helah Mahu Beli Makanan Di Luar| Covid-19 tidak lagi asing bagi masyarakat Malaysia bahkan di seluruh dunia. Hal ini amat membimbangkan pelbagai pihak kerana angka ini terus meningkat saban hari. Namun, terdapat segelintir masyarakat yang masih lagi berdegil, keras kepala dan seakan tidak ambil kisah dan ambil tahu mengenai arahan PKP yang dikuatkuasakan.

Apa yang paling mengecewakan, ada juga segelintir rakyat yang masih memakai gelang kuarantin tetapi tetap berdegil mahu keluar dari rumah dengan memberi alasan yang tidak munasabah.

Padah Tanggal Gelang Kuarantin Sendiri, Mahu Beli Makanan Di Luar

Sabak Bernam: Terbaru seorang pemuda beri alasan mahu membeli makanan di luar, namun ia hanya helah supaya dapat keluar daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di sini.

Bagaimanapun, helah pemuda berusia 19 tahun itu terbongkar apabila polis menahannya di pintu utama kawalan keselamatan pada 11.30 pagi semalam.

Namun, apa yang lebih mengejutkan, lelaki terbabit sepatutnya menjalani kuarantin selama 10 hari di rumah dan didapati telah menanggalkan sendiri gelang kuarantin yang dipakainya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, lelaki itu tinggal di Taman Serendah yang merupakan antara kawasan perumahan dikenakan PKPD.

“Dia ingin keluar dari kawasan PKPD dengan alasan untuk membeli makanan di luar.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki ini didapati diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kuarantin di rumah selama 10 hari.

“Didapati gelang kuarantin yang dipakainya juga ditanggalkan sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, berikutan itu petugas KKM mengeluarkan kompaun RM2,000 mengikut Seksyen 11(3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB 1988) dan Seksyen 11(5) akta sama terhadap lelaki itu.

Agus Salim berkata, pihaknya juga mengeluarkan saman kepada lelaki berkenaan kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Sumber: Harian Metro

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *