Pandu Secara Berbahaya, Polis Tahan Dua Lelaki. Tular di media sosial baru-baru ini video dua buah kenderaan yang memandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan, polis tahan dua lelaki. Baca seterusnya.

SEREMBAN: Polis menahan dua lelaki yang juga pemilik dan pemandu dua buah kenderaan dipandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan, yang mana rakaman video kejadian berkenaan tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dikesan atas maklumat dan rakaman diterima Risikan Operasi daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Hasil siasatan mendapati suspek pertama yang memandu kereta jenis Audi A4 seorang lelaki berusia 36 tahun manakala suspek kedua yang memandu kereta jenis Toyota Wish seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Suspek pertama hadir menyerah diri pada 2 Mei 2022 pada pukul lebih kurang pukul 9 malam manakala suspek kedua iaitu pemandu Toyota Wish pula hadir serah diri pada pada pukul 6.45 petang semalam. Kedua-dua suspek bersama kenderaan ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, polis dilaporkan sedang mengesan pemandu atau pemilik dua buah kenderaan yang dipandu secara berbahaya dengan aksi mengubah haluan secara tiba-tiba (zig-zag) di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Kilometer 269 hingga Kilometer 238 arah Selatan.

Rakaman video kejadian berkenaan yang berdurasi satu minit 50 saat turut tular dalam media sosial.

Sementara itu, Nanda memberitahu, hasil siasatan awal mendapati punca sebenar kejadian adalah disebabkan pemandu kereta Audi A4 hendak menarik kereta jenis Toyota Wish yang dikatakan mempunyai hutang tertunggak selama beberapa bulan.

“Pemandu kereta Toyota Wish bagaimanapun enggan berhenti dan mengakibatkan berlakunya ketidakpuasan hati.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply