Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara sebelum berjaya menahan sepasang kekasih selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di sebuah stesen minyak di Gertak Chaber, di sini, baru-baru ini.

Pasangan Kekasih Cuba Rempuh Anggota, Polis Lepaskan Tembakan

Tembakan amaran terpaksa dilepaskan selepas pasangan kekasih berusia 20 dan 22 itu enggan memberhentikan kereta yang dinaiki mereka walaupun telah diarahkan berbuat demikian menggunakan alat pembesar suara.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, semasa melakukan rondaan pada jam 11 malam anggota Unit Kereta Peronda (MPV) telah melihat sebuah Perodua Myvi berada dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang bangunan ECO berhampiran jalan Humaira.

Jelasnya, semasa mahu melakukan pemeriksaan, pemandu kereta berusia 20 tahun telah bertindak cuba merempuh anggota bertugas sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV.

Tambahnya, suspek kemudian melarikan diri dengan memecut laju Myvi yang dipandu sehingga melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di jalan Hiburan.

Menurutnya, anggota polis telah bertindak menggunakan pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaannya namun bertindak memecut laju.

Pasangan Kekasih Cuba Rempuh Anggota, Polis Lepaskan Tembakan

Beliau berkata, kereta Myvi itu bagaimanapun hilang kawalan sebaik sahaja tiba di Petronas Gertak Chaber.

Wan Zulfikri berkata, anggota bertugas telah melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan berjaya menahan kedua-dua suspek.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek cuba melanggar kenderaan MPV untuk melarikan diri selepas terkejut melihat anggota polis hendak membuat pemeriksaan ketika bersama dengan teman wanita di dalam Myvi itu.

Katanya lagi, wanita berusia 22 tahun itu pula mengaku baru sahaja mengenali lelaki tersebut sebulan lalu dan mereka adalah pasangan kekasih.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan direman bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply