SUNGAI PETANI – Kegiatan suami isteri yang menjadikan kawasan tumpuan pengunjung di Tanjung Dawai sebagai sasaran pecah cermin kereta akhirnya tumpas apabila ditahan polis pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pasangan terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Semeling Maju, kira-kira jam 11 pagi.
Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 28 tahun dan 33 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas barangan yang dicuri hasil pecah cermin kereta antaranya seutas rantai tangan, rantai leher, cincin, resit jualan barang kemas, telefon bimbit,
Selain itu, sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah dan sebuah kereta lagi yang dibeli hasil kegiatan itu turut dirampas.
“Modus operandi yang digunakan ialah menjadikan kedai makan dan kawasan tumpuan ramai sebagai sasaran lokasi seperti di Tanjung Dawai untuk melakukan jenayah.
“Hal ini berikutan terdapat banyak kenderaan pengunjung diletakkan di bahu jalan.
“Barangan curi kemudian dijual kepada orang perseorangan di mana hasil jualan akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya kepada media pada Ahad.
Beliau berkata, kedua-duanya direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati pasangan itu positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan mencuri serta pernah dipenjarakan atas kesalahan berkaitan dadah.
“Tangkapan membabitkan pasangan suami isteri ini telah berjaya menyelesaikan enam kes pecah cermin kereta.
“Antaranya termasuk tiga kes di daerah Kuala Muda dan tiga kes di Yan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adzli berkata, empat ahli Geng Mad Add turut ditahan dalam serbuan berasingan dekat Taman Sejati.
Ahli-ahli geng yang ditangkap berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 23 tahun.
Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan 20 kes curi motosikal yang aktif sejak Julai 2019.
Menurutnya, polis merampas sebuah mesin grinder besi, 10 rangka motosikal dan sebuah enjin motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Modus operandi yang digunakan ialah bergerak secara bertiga menaiki dua buah motosikal ke kawasan sasaran.
Tambahnya lagi, antara kawasan yang menjadi sasaran ialah perumahan, tapak pasar malam dan kawasan perkilangan.
“Kemudian, salah seorang bertindak sebagai pencuri dan dua lagi menjadi pemerhati.
“Motosikal yang dicuri akan dihantar ke rumah salah seorang suspek yang bertindak sebagai pembeli dan pelerai motosikal.
“Komponen motosikal dijual melalui laman sosial mengikut harga dan permintaan pelanggan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, polis menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan di media sosial.
Selain itu,orang ramai diminta melaporkan kejadian mencurigakan melalui talian 04-4299222.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian