Pasangan Tergamak Buang Mayat Bayi Dalam Beg

| April 27, 2020 | 0 Comments

Pasangan Tergamak Buang Mayat Bayi Dalam Beg | “Pertama kali seumur hidup jumpa bayi perempuan cukup sifat. Tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata, menggeletar satu badan,” kata pemilik akaun Facebook (FB) Salika Bakri.

Dia dan suaminya saksi kejadian yang menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam bungkusan beg di tepi jalan di Seksyen 6, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, seorang lelaki melihat pasangan meninggalkan beg plastik itu di lokasi kejadian.

Salika yang berkongsi kejadian itu menerusi FB berkata, dia menerima panggilan telefon dari suami memberitahu menemui bayi dan meminta dia datang kerana tidak berani menyentuh.

“Kawasan bayi itu ditemui memang tak jauh dengan rumah.

“Sampai sampai je tengok memang bayi dah tak bernafas, siap ada plastik dalam tu (mungkin uri).

“Saya tak buka sebab arahan daripada polis jangan sentuh apa apa. Dah niat dalam hati, andai sampai sampai tadi kalau bayi tu tengah menangis, memang nak bagi dia menyusu tapi bayi dah meninggal,” katanya.

Katanya, pasangan lelaki dan perempuan tidak tahulah berkahwin atau tidak.

“Dorang (mereka) naik motosikal, dan tinggal macam tu je kata suami. Dia dah perasan dorang (mereka) nampak macam mencurigakan, so (jadi) suami pun patah balik pergi tengok memang betul bayi.. Allahu Akhbar.

“Suami tak sempat mengambil nombor plat motosikal. Bayi dah dibawa ke balai polis dan pihak hospital dah ambil untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis menerima panggilan jam 10 pagi menyatakan penemuan bungkusan beg warna oren yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Hasil semakan lanjut pengadu, didapati di dalamnya mengandungi bayi dibalut kain berwarna coklat.

“Bertindak dengan maklumat ini, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju digerakkan ke lokasi kejadian bersama bantuan perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Rajab berkata, hasil siasatan awal pegawai perubatan HKL mengesahkan bayi perempuan itu dalam keadaan cukup sifat ketika ditemui sudah meninggal dunia.

“Disyaki bayi ini baru saja dilahirkan kerana masih ada cebisan tali pusat pada badan bayi itu.

“Saksi juga gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya.

Sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Stephen Ganeson di talian 016-376 7390 atau pusat kawalan polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *