Payung Terjun Selamatkan Pesawat Ringan Cirrus SR-22 | Enam kru dan penumpang sebuah pesawat ringan Cirrus SR-22 terselamat selepas pesawat itu mendarat menggunakan payung terjun di Belo Horizonte, Brazil, Sabtu lalu.

Pesawat buatan AS berkenaan diselamatkan oleh peranti yang dipanggil Cirrus Airframe Parachute System, lapor The National News.

Kejadian pesawat ringan itu mendarat dirakam saksi yang terkejut melihatnya terapung berhampiran bukit dilitupi hutan di wilayah selatan Minas Gerais.

Rakaman video dimuat naik oleh Aeroin, sebuah perkhidmatan berita penerbangan Brazil menerusi Twitter.

Pasukan bomba ke lokasi kejadian mendapati empat kru, seorang kanak-kanak dan seorang bayi berusia tiga hari, terpinga-pinga, namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kemalangan itu yang disebabkan oleh kegagalan enjin.

Ia bukan kali pertama pesawat Cirrus diselamatkan oleh sistem payung terjun yang direka untuk menyelamatkan anak kapal.

Namun, sistem itu tidak semestinya melindungi pesawat daripada kerosakan akibat hentakan.

Bulan lalu, sebuah pesawat Cirrus di Brazil terpaksa menggunakan payung terjun menyelamatkan mereka yang berada di dalam kapal selepas ia mengalami masalah enjin.

Pesawat itu juga dilengkapi pintu sisi kecemasan sekiranya pintu utama terhalang akibat terhempas.

Pada 2014, payung terjun Cirrus digunakan ketika sebuah pesawat jenis sama berada di atas pergunungan Blue Mountains, Australia, dan menyelamatkan tiga kru dengan pesawat itu.

Tahun lalu, Vision Jet SF50 syarikat sebuah pesawat jet membawa tiga orang mengalami kerosakan berhampiran Lapangan Terbang Kissimmee Gateway di Orlando, Florida dan berjaya menggunakan payung terjun untuk mendarat dengan selamat di kawasan berpaya.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Pesawat Ringan Terhempas Di Tanah Perkuburan

Pesawat Ringan Terhempas Di Tanah Perkuburan | Akhbar New York Post melaporkan bahawa sebuah pesawat ringan terhempas di atas sebuah tanah perkuburan dalam nahas udara yang berlaku di Long Island, New York ­kelmarin.

Polis daerah Suffolk berkata, sekitar pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan), pesawat itu terhempas di Tanah Perkuburan Beth Moses, West Babylon.

Dua orang yang menaiki pesawat itu iaitu seorang juruterbang lelaki dan seorang penumpang wanita, telah dibawa ke Hospital Universiti Good Samaritan di West Islip kerana mengalami cedera ringan, kata beberapa pegawai.

Polis berkata, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah menghantar petugas ke tempat kejadian.

Gambar di lokasi nahas menunjukkan pesawat itu tersadai di atas laluan tanah perkuburan tersebut, manakala tanaman hiasan dan beberapa batu nisan musnah.

Tanah perkuburan itu terletak kira-kira 3.2 kilometer dari Lapangan Terbang Republic di East Farmingdale. Lapangan terbang tersebut adalah bagi kegunaan pesawat ringan.

Sumber: Kosmo

 

Sebuah Pesawat Ringan Terhempas. 16 Penumpang Maut.

Sebuah Pesawat Ringan Terhempas. 16 Penumpang Maut. | MOSCOW – Sebuah pesawat ringan yang membawa sekumpulan penerjun udara terhempas di Rusia dan membunuh 16 penumpang serta mencederakan enam yang lain, kata Kementerian Kecemasan.

Pesawat enjin berkembar jenis L-410 yang membawa 22 individu itu dilaporkan terhempas pada pukul 9.23 pagi (waktu tempatan) berhampiran dengan bandar Menzelinsk di Republik Tatarstan.

“Enam individu telah diselamatkan manakala 16 lagi dilaporkan meninggal dunia,” kata kementerian tersebut pada saluran Telegram.

Berdasarkan beberapa imej yang dikongsikan kementerian, bangkai pesawat kelihatan terputus dua.

Sementara itu, Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov yang turut bergegas ke lokasi kejadian berkata, juruterbang melaporkan berlakunya kerosakan enjin dan membuat pendaratan cemas sejurus berlepas.

“Juruterbang cuba untuk mengelakkan pesawat daripada mengenai kawasan perumahan ketika ia cuba membuat pendaratan cemas, namun keadaaan ketinggian tidak membenarkan situasi itu berlaku,” katanya.

Sayap pesawat tersebut mengenai sebuah van yang sedang diparkir sebelum ia terbalik.

Susulan nahas tersebut, pasukan penyiasat Rusia melancarkan siasatan jenayah terhadap kemungkinan berlakunya pelanggaran peraturan keselamatan. – AFP

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply