Pecah Masuk Rumah Larikan Barang Bernilai, Empat Penjenayah Diburu Polis

| September 10, 2020 | 0 Comments

Pecah Masuk Rumah Larikan Barang Bernilai, Empat Penjenayah Diburu Polis | Enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Batu 5 1/2 Jalan Ipoh, di sini, dipecah masuk empat lelaki bersenjatakan parang dan batang besi pagi tadi.

Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Bhai, 36, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi, dia bersama isteri serta lima anak sedang tidur di dua bilik berasingan sebelum dia tersedar selepas mendengar jeritan isterinya.

Katanya, sebaik bangun daripada tidur, dia terkejut melihat kelibat empat lelaki memakai topeng bersenjatakan parang serta batang besi di dalam bilik berkenaan.

“Mereka kemudian meminta saya menyerahkan wang, namun saya memaklumkan saya tidak menyimpan wang tunai di rumah. Jawapan itu menyebabkan mereka berang dan memukul saya menggunakan hujung parang serta batang besi di seluruh badan.

“Kejadian itu menyebabkan seorang anak saya yang tidur di bilik berasingan bangun dan masuk ke dalam bilik berkenaan. Kami semua diarahkan duduk di satu sudut di bilik terbabit sementara mereka menyelongkar barang di seluruh rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga seorang peniaga berkata, penjenayah itu kemudian mengambil beberapa barang kemas milik isterinya dianggarkan RM70,000 selain wang tunai RM2,000 serta USD 300 (RM1,244) dan satu televisyen.

“Ketika mereka mahu beredar, penjenayah berkenaan turut mengugut akan mencederakan anak saya jika saya mengikut pergerakan mereka keluar rumah.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati penjenayah itu masuk ke dalam rumah melalui tingkap di tingkat bawah dengan memotong jeriji.

“Akibat kejadian ini, saya mengalami kecederaan di bahagian kaki selain lebam di kepala serta tangan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Namun, saya bersyukur isteri serta anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentul.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

gambar:

1. KEADAAN rumah mangsa di Batu 5 1/2 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, yang berselerak selepas dipecah masuk oleh empat penjenayah bersenjatakan parang dan batang besi, hari ini.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *