Pegawai Bomba M4ut Terlanggar Kerbau Akibat Jalan Tiada Lampu | BEAUFORT – Seorang pegawai bomba maut selepas motosikal ditungganginya terlanggar kerbau dalam kejadian di Jalan Bandau/Kuala Penyu, Kampung Purun malam tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.40 malam itu, Pegawai Bomba (BP) Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC seorang diri dari tempat kerja menuju ke rumahnya di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

“Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan raya.

“Ekoran itu, mangsa telah terjatuh lalu mengalami kecederaan sebelum ditemui orang awam dan dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu oleh ambulans.

“Namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan akibat parah di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Yusoff Zaki berkata, kerosakan utama motosikal mangsa akibat kemalangan adalah di bahagian hadapan.

“Siasatan juga di tempat kejadian mendapati keadaan gelap tanpa lampu jalan dan cuaca baik. Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Dua Penunggang Motosikal M4ut Langgar Kerbau

Gara-gara kerbau dua nyawa melayang dalam kejadian kemalangan di dua lokasi berasingan di daerah ini selang dua jam.

Kejadian pertama berlaku pada pukul 12.20 tengah malam semalam di Kilometer 4 Jalan Pekan-Batu Balik mengorbankan seorang lelaki manakala kejadian kedua pada pukul 2 pagi tadi di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi mengorbankan seorang pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian pertama berlaku ketika mangsa Mohd Azlan Abdul Aziz, 42, dalam perjalanan menunggang motosikal dari arah Batu Balik menghala ke Pekan.

Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R telah terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

“Akibat kejadian motosikal dinaiki mangsa terbabas jatuh ke dalam parit sebelah kanan jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya lokasi kejadian adalah jalan lurus satu lorong dua hala dan semasa kejadian tidak hujan dan lokasi kejadian gelap tanpa lampu jalan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian kedua pada pukul 2 pagi di Kilometer 4 Jalan Pekan-Nenasi berlaku ketika mangsa Muhammad Syafiq Al-Syahmi Suhaime,18, dalam perjalanan menunggang motosikal dari Taman Permata menghala ke bandar Pekan.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa telah terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan.

“Akibat kemalangan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan.

Katanya, bedah siasat akan dilakukan terhadap mayat mangsa selepas keputusan ujian Covid-19 diterima.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply