Pegawai Bomba Maut Terlibat Dalam Letupan Kebakaran Kilang | Seorang pegawai bomba yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu, di Segamat pada Sabtu, disahkan meninggal dunia.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis, Allahyarham, PB Mohd Firdaus Sulaiman, 32, memghembuskan nafas terakhir pada jam 4.15 pagi tadi di Hospital Segamat.
Jenazah dilaporkan kini masih berada di Hospital Segamat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
Jelas Yahaya Madis, Allahyarham sudah sepuluh tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012 justeru beliau berdoa agar arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman. Al-Fatihah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 5.15 pagi.
Katanya semasa operasi pemadaman, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang pada kira-kira 10 pagi yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.
Letupan tersebut telah menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah.
Manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan.
Sumber: Astro Awani