Pegawai Kanan Polis Parah Kemalangan | Pegawai kanan polis parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 104 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 10.10 malam itu, Inspektor Syed Azhar Al-Qudri Syed Abidin, 39, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata, ketika kejadian ketiga-tiga kenderaan bergerak dari arah Plaza Tol Sungai Petani Utara ke arah Plaza Tol Sungai Petani Selatan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pegawai polis yang menaiki motosikal mendahului Honda City dan sebuah Perodua Alza di lorong kanan.

“Kemalangan berlaku apabila tiba di tempat kejadian yang ketika itu cuaca hujan, motosikalnya dipercayai hilang kawalan.

“Berikutan itu, mangsa terjatuh ke kanan berdekatan pagar besi pembahagi tengah jalan manakala motosikalnya tercampak ke kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, Honda City yang berada di belakang mengelak ke kanan menyebabkan kereta terbabit melanggar pembahagi tengah jalan dan menggilis kaki pegawai polis berkenaan.

Manakala, Perodua Alza cuba mengelak ke kiri namun melanggar motosikal terbabit menyebabkan motosikal itu tercampak ke kiri dan melanggar pagar besi penghadang tepi jalan lalu terbakar.

Beliau berkata, akibat kemalangan, pegawai polis berkenaan patah di bahagian lutut kanan dan luka di perut manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan.

“Pegawai polis terbabit dibawa ke HSAH untuk rawatan lanjut dan dalam keadaan sedar, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : MyMetro

Share.

Leave A Reply