Pegawai MPJ Didakwa Beri Keterangan Bercanggah Kes Rasuah | Seorang pembantu penilaian kanan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menjadi individu pertama di negeri ini, didakwa atas tuduhan memberi keterangan bercanggah ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan seorang pegawai polis, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan, di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memberi kenyataan tidak selaras kepada pengadu iaitu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, berkaitan suapan wang tunai dalam perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan JS Kalvinderjit Singh di Mahkamah Sesyen 1, Ayer Keroh, pada 18 Januari lalu, antara jam 2.40 petang hingga 3.30 petang.

Kenyataan diberikan itu tidak selaras dengan penyataan asal diberi tertuduh kepada Penolong Penguasa SPRM, Mohd Rosly Mohd Saupi, di Pejabat SPRM Melaka pada 18 Februari 2020.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mencadangkan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000 atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan tidak boleh dipandang mudah.

Beliau juga mencadangkan syarat tambahan iaitu penjamin mestilah bukan ahli keluarga serta tertuduh dikehendaki melapor diri sekali sebulan di Pejabat SPRM Melaka.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu jumlah jaminan paling minimum kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM3,500 sebulan.

Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM4,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sumber: Berita Harian

 

Artikel Lain

Sarjan Didakwa Terima Rasuah

Sarjan Didakwa Terima Rasuah | Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,500, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa menerima wang rasuah daripada seorang lelaki yang kini berusia 26 tahun setelah dia kononnya membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.34 malam, 18 November 2020 di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, dekat sini.

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, IPD Kubang Pasu berdepan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar tertuduh diperintahkan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Namun, peguam tertuduh memohon kadar jaminan dipertimbangkan untuk ditetapkan pada tahap minimum, memandangkan tertuduh tidak pernah gagal hadir bagi melapor diri di pejabat SPRM sejak ditahan pada 18 November 2020.

Mengambil kira perkara itu dan latar belakang lain, Mohd. Khairul yakin bahawa anak guamnya yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berisiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali.

Tarikh serahan dokumen serta sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan dan tertuduh difahamkan membayar jaminan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply