Pegawai Polis Korban Covid-19. Takziah

| April 4, 2020 | 0 Comments

Pegawai Polis Korban Covid-19. Takziah | POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah melaksanakan proses pembersihan atau sanitasi di semua lokap di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis daerah agar proses sanitasi di setiap lokap dijalankan setiap hari.

“PDRM sentiasa laksana tugas dengan mengambil kira hak asasi manusia dan semua pihak perlu faham akan tugas pihak polis,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, setakat ini, 33 anggota pasukan keselamatan itu disahkan positif Covid-19, manakala kira-kira 750 ahli keluarga mereka diarahkan untuk dikuarantin.

“Seorang pegawai sudah meninggal dunia akibat Covid-19, dan ada yang dijangkiti kerana pergi ke luar negara serta dijangkiti daripada kluster ahli tabligh,” katanya.

Abdul Hamid juga menjelaskan semua anggota yang bertugas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarahkan memakai penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya sudah ada, antaranya anggota yang bertugas tidak dibenarkan pegang kereta ketika bertanya serta digalakkan untuk kerap mencuci tangan,” katanya.

Ketua Polis Negara juga meminta orang ramai agar mematuhi PKP bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan, sekali gus membolehkan keadaan di negara kembali seperti sedia kala.

“PKP ini dilaksana bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi demi untuk keselamatan, dan semua pihak diminta faham serta patuh arahan PKP,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags: , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *