Peguam Kongsi Prosedur Selesaikan Saman Yang Tidak Boleh Dikompaun Dari JPJ Atau Polis Trafik

| February 25, 2021 | 0 Comments

Peguam Kongsi Prosedur Selesaikan Saman Yang Tidak Boleh Dikompaun Dari JPJ Atau Polis Trafik | Sebelum mendapatkan lesen kenderaan lagi, bakal pemandu-pemandu sudah diberi taklimat mengenai cara pemanduan di jalan raya, hukuman apabila melakukan kesalahan dan sebagainya.

Namun begitu, pasti ada juga segelintir yang tidak dapat lari dari menerima beberapa saman akibat kesalahan yang dilakukan. Selain saman yang boleh dikompaun yang didapati terus dari polis trafik, ada juga saman yang tidak boleh dikompaun dari pihak berkuasa. Ia perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah.

Peguam Kongsi Prosedur Selesaikan Saman Yang Tidak Boleh Dikompaun Dari JPJ Atau Polis Trafik

Antara contoh kesalahan yang tidak boleh dikompaun adalah kenderaan tiada roadtax atau insurans dan pemandu menggunakan telefon bimbit sambil memandu.

Maka, apabila dapat saman dengan JPJ atau polis trafik untuk kesalahan tersebut, apa langkah yang perlu kita lakukan?

Mari ikuti perkongsian dari seorang peguam yang dikenali sebagai Mohamad Nasruddin dari Tetuan Nas Rahma & Co tentang prosedur selesaikan saman yang tidak boleh dikompaun di mahkamah yang dikongsikan di laman Twitternya.

1. Tengok resit saman yang diberikan.

Pastikan mahkamah mana dan tarikh kena hadir ke mahkamah. Biasanya mahkamah dalam daerah yang kita kena saman tu.

2. Hadir ke mahkamah.

Sebaiknya simpan resit saman yang JPJ/Polis bagi masa kena saman tu. Dokumen yang perlu di bawa ke mahkamah:

a. Kad pengenalan

b. Resit saman

c. Kad debit (pastikan ada duit)

Pastikan datang awal dan perlu berada di mahkamah sebelum jam 9.00 pagi. Kenapa pentingnya untuk datang awal adalah sebab pendaftaran untuk kes saman JPJ/Trafik ni hanya pukul 8-9 pagi sahaja.

Kalau terlambat dan tak sempat daftar, kita akan dianggap tak hadir dan perlu pergi ke pejabat JPJ pula untuk ambil tarikh baru. Lagi lambat nanti untuk perkara ni selesai.

3. Daftar di kaunter pendaftaran

Semasa pendaftaran, bila nombor dipanggil, staff di kaunter pendaftaran akan minta IC dan resit saman. IC dengan resit saman tu akan dipegang dan diserahkan kepada pegawai JPJ dan staff di kaunter pendaftaran akan maklumkan kes akan dijalankan di bilik mahkamah yang mana.

4. Bergerak ke ruangan menunggu

Kemudian, boleh pergi ke tempat bilik mahkamah yang ditetapkan dan tunggu di situ. Biasanya kes trafik ni setiap hari memang ramai jadi boleh tahulah kat mana bilik mahkamah tu bila tengok ramai orang tengah di tunggu tempat yang sama.

5. Tunggu pegawai JPJ panggil nama

Pegawai JPJ akan datang panggil nama setiap seorang di ruangan menunggu tu. Maksudnya, kena tunggu giliran sebab ramai sangat jadi tak boleh masuk semua. Dia akan panggil sikit-sikit. Biasa dalam 10 orang dalam satu masa.

6. Dipanggil masuk ke dalam bilik mahkamah

Pegawai JPJ akan minta kita tunggu di depan pintu bilik mahkamah dengan 9 orang lain. Bila dia suruh masuk, baru boleh masuk.

Dalam bilik mahkamah depan Majistret tu nanti, semua yang dipanggil akan berbaris depan Majistret. Kemudian, nama individu akan dipanggil dan kesalahan setiap individu akan dibacakan.

7. Jurubahasa akan sebut nama kita

Bila nama kita dah disebut, kena jawab “Ya saya”. Kita akan ditanya sama ada mengaku bersalah atau tak. Lebih kurang macam kes jenayah la. Biasa kes trafik ni memang semua akan mengaku kecuali kalau kita rasa betul-betul tak bersalah, boleh mohon untuk dibicarakan

8. Mohon untuk ringankan hukuman

Kalau kita mengaku bersalah, tugas kita sekarang adalah merayu kepada Majistret supaya hukuman ataupun denda dikurangkan.

Masa rayuan ni, jangan sekadar cakap contohnya,

“Saya merayu denda dikurangkan.”

Tak boleh cakap macam ni. Kita kena beritahu Majistret kenapa kita merayu untuk pengurangan denda. Jadi, kena beritahu sebab/alasan.

Contohnya:

a. Ini kesalahan pertama

b. Masih belajar lagi dan tak bekerja

c. Banyak tanggungan keluarga

Ini contoh sahajalah. Bergantung kepada situasi masing-masing.

9. Penetapan hukuman

Lepas kita dah nyatakan rayuan, tuan Majistret akan maklumkan jumlah denda. Nanti jangan lupa ucapkan terima kasih kepada tuan Majistret sebab dah kurangkan jumlah denda.

10. Dapatkan bil denda

Dah keluar dari bilik mahkamah, terus pergi ke kaunter pendaftaran untuk jana bil. Jumlah denda perlu dibayar pada hari yang sama. Dah bayar, baru IC akan dipulangkan kepada kita. Untuk tunggu bil dijanakan, tak perlu ambil nombor baru. Tunggu sahaja di kaunter pendaftaran sampai nama dipanggil. Yang ni akan ambil masa lama sedikit.

11. Bayar denda

Bila nama dipanggil, staff kaunter tu akan serahkan kepada kita bil yang ada kod.

Cara pembayaran ada 2 iaitu:

a. Bayar secara tunai di mesin CDM yang disediakan. Biasa kalau bayar di CDM kena beratur panjang sebab ramai orang.

b. Bayar guna kad debit di kaunter bayaran. Ini lebih senang dan cepat. Beratur pun tak panjang.

12. Bawa resit ke kaunter

Bila dah bayar, pastikan ambil resit bayaran dan bawa ke kaunter pendaftaran. Dah tunjukkan resit, staff di kaunter pendaftaran akan ambil salinan dan pulangkan balik IC kita.

Bila IC dah dipulangkan, selesailah urusan kita pada hari tersebut iaitu membayar denda untuk saman JPJ/Trafik. Untuk rekod, sebaiknya simpan resit bayaran tu.

Sumber : @MNasruddin_AR

 

 

 

Tags: , , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *