Peguam Negara Digesa Letak Jawatan Berkenaan Batal Rayuan Kes Ku Nan. | SHAH ALAM – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan sekiranya tidak dapat menjustifikasikan tindakannya membatalkan rayuan terhadap keputusan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Peguam Negara Digesa Letak Jawatan Berkenaan Batal Rayuan Kes Ku Nan.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut mewujudkan persepsi sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara.

Malah, kata mereka, ia mencemarkan kredibiliti dan kebebasan Peguam Negara untuk menjalankan tugas rasmi secara profesional.

“Majlis Presiden juga akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara PH dan kerajaan khususnya Perkara 4 berhubung Kebebasan Institusi Kehakiman.

“Keputusan Peguam Negara berhubung isu Tengku Adnan ini salah dan mengecewakan,” kata mereka menerusi kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam kenyataan sama, Majlis Presiden PH sedar bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada menarik balik rayuan tersebut atau tidak.

Bagaimanapun, kata mereka, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar dan dihakimi sehingga segala proses perundangan yang dibenarkan telah dilalui sepenuhnya.

“Majlis Presiden akan terus meneliti tindakan-tindakan seperti ini dan mempertimbangkan langkah-langkah yang akan diambil sehingga kedudukannya dipertikaikan serta kewibawaannya tercalar,” ujar mereka.

Pada 21 Disember lalu, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan didakwa atas kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan kesalahan Tengku Adnan atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu dengan majoriti 2-1 dengan memutuskan bahawa wang itu adalah sumbangan politik lalu Tengku Adnan dibebaskan daripada pendakwaan.

Peguam Negara Idrus Harun memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Julai berhubung keputusan itu tetapi membatalkannya minggu lalu.

Sumber: Sinar Harian FMT

Share.

Leave A Reply