KUANTAN – Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar kereta ketika cuba melintas jalan di Jalan Kuantan-Gambang, Batu 12 di sini pada Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.49 malam itu, mangsa, S Paradaman, 57, yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, wanita berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu wanita yang memandu kereta jenis Perodua Axia itu dalam perjalanan dari Balok Perdana ke Batu 11 di sini.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki (mangsa) tiba-tiba melintas jalan dari kiri ke kanan.

“Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus dengan keadaan gelap tanpa lampu jalan dan permukaan jalan basah selepas hujan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

2 Beradik Meninggal Dunia Selepas Dilanggar Oleh Lori Tangki Minyak.

KUANTAN: Kecuaian pemandu lori tangki minyak dipercayai punca dua beradik yang berasal dari Felda Lepar Hilir 1 di sini maut setelah kereta dinaiki mereka dilanggar kenderaan berat itu di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini malam tadi.

Dua beradik meninggal dunia

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Siti Mazurah Zulkifli, 30, yang merupakan seorang pramusaji dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, yang bekerja sebagai jurujual meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori terbabit dikatakan datang dari arah Muadzam Shah, Rompin menuju ke stesen minyak Petron Gambang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu lori hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua mangsa dalam kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari juga berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan dipandu sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

“Pemandu lori terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan. Keputusan ujian air kencing terhadap lelaki itu negatif dadah. Keterangan pemandu lori berkenaan sudah diambil dan lori dipandu akan di bawa ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.21 malam.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima, lapan anggota bomba pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dibantu BBP Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa kemalangan terlibat.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply