Seorang pekerja kilang maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar lori sedang ditunda di Kilometer 61 Jalan Kota Bharu di Gua Musang, awal pagi semalam.

Kenderaan mangsa yang remuk dalam kemalangan Kilometer 61 Jalan Kota Bharu – Gua Musang, dekat Kuala Krai, awal pagi tadi. - FOTO IHSAN PDRM

Keadaan kenderaan mangsa yang remuk dalam kemalangan Kilometer 61 Jalan Kota Bharu di Gua Musang, berdekatan Kuala Krai, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, pemandu kereta Perodua Bezza yang dikenali sebagai Fairuz Zamry berusia 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lori jenis Mitsubishi Fuso yang menunda sebuah lagi lori jenis Isuzu menggunakan sebatang besi yang diikat di belakang dalam perjalanan dari Padang Sembilan, Kuala Krai ke bengkel di Kampung Keroh.

Katanya, mangsa bersama rakannya bernama Nur Ain Sofea Zakaria berusia 21 tahun  dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju rumah keluarga angkat mangsa di Kampung Pahi.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang memandu Perodua Bezza dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sisi kanan lori Isuzu yang ditunda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata bahawa  pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

“Penumpang kereta yang juga rakan kepada mangsa juga cedera di leher dan luka di tangan serta kaki kanan manakala pemandu lori jenis Isuzu berusia 43 tahun hanya cedera ringan dan seorang lagi pemandu tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Susulan itu, Suzaimi berkata bahawa orang ramai yang mempunyai maklumat nahas itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Sumber : Berita Harian 

Share.

Leave A Reply