Seorang lelaki maut selepas kepalanya tersepit di antara dua kontena dalam kejadian di sebuah terminal kontena, di sini, tengah malam tadi.

Pekerja Lelaki Maut Kepala Tersepit Dua Kontena

Kejadian jam 12.35 tengah malam itu dilaporkan berlaku apabila mangsa warga tempatan berusia 23 tahun sedang menjalankan kerja-kerja mengubah kontena kosong.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung insiden berkenaan.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja sub kontraktor di terminal kontena terbabit yang dia dilantik untuk menjalankan kerja-kerja mengangkut kontena kosong menggunakan prime mover (lori terminal) dari jeti ke kawasan penyimpanan kontena kosong.

Katanya, ketika kejadian mangsa yang ditugaskan sebagai pemandu lori terminal dipercayai sedang memeriksa ‘seal’ pintu kontena yang sedang disusun di atas kepala lori.

Tambahnya, pada masa sama, seorang pekerja lain telah menolak kontena terbabit dengan menggunakan jentera reach stacker (pengangkut kontena) untuk merapatkan kedudukan kontena di atas kepala lori tanpa menyedari mangsa berada di situ.

Beliau berkata berikutan itu berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kepala mangsa tersepit di antara dua kontena setinggi 6.1 meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pekerja Lelaki Maut Kepala Tersepit Dua Kontena

Susulan daripada kemalangan itu juga JKKP negeri mengeluarkan satu notis larangan dan lokasi kejadian serta kenderaan yang digunakan telah disita serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

Ujarnya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Ulasnya lagi, JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

Menurutnya, majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Tegasnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply