Seorang pekerja sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah, di sini, ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor, hari ini.

Pekerja Terhidu Ammonia Bocor. 'Ini' Keadaan Terkini Mangsa..

Mangsa bagaimanapun diselamatkan pasukan bomba yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebocoran gas di lokasi berkenaan jam 6.18 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Zulkifli Abd Azis tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Jelasnya, setibanya di lokasi kejadian Komander Operasi melakukan pemantauan di kawasan itu dan mendapati terdapat bau gas yang dipercayai gas ammonia yang sangat kuat di situ.

Katanya dalam satu kenyataan, beliau kemudian mengarahkan anggota memakai alat pernafasan dan membuka satu aliran hos serta membuat ‘fire curtain’ bagi menghampiri kawasan kilang untuk mengenal pasti punca kebocoran.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa, Maryudi Md Kassim, 43, tidak sedarkan diri di kawasan kilang dan berjaya dibawa keluar untuk diberikan rawatan awal.

Beliau berkata, pasukan dari Unit Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Kulim Hitech dipanggil untuk membantu, selain anggota polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Mangsa kemudian dilaporkan telah dihantar ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, setakat ini kerja pemantauan sedang dilakukan oleh pihak HAZMAT di lokasi kejadian.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply