Pelajar Ditemui Mati Lemas Semasa Mandi Air Terjun | Kegembiraan seorang remaja lelaki berkelah bersama dua rakan dan bekas gurunya di air terjun Batu Berangkai dekat sini hari ini berakhir tragedi apabila dia ditemukan mati lemas.

Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi itu, mangsa, Luqman Hakim Ismail Sukri, 16, ditemukan di kawasan lubuk dan dibawa keluar oleh penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa bersama bekas guru dan dua rakannya bergerak dari Kampung Gajah ke kawasan perkelahan berkenaan untuk mandi.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa terus mandi dan berenang ke kawasan dalam manakala guru dan rakannya pula mengangkat barang.

“Mangsa tiba-tiba tenggelam di tengah air terjun dan hilang. Bekas gurunya itu cuba memanggil remaja terbabit namun tiada jawapan.

“Dua rakan mangsa cuba berenang mencari lelaki itu namun tidak berjaya membawanya keluar dari kawasan air yang dalam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bekas guru mangsa terus meminta bantuan orang kampung dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan kejadian.

“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar oleh orang kampung dan pasukan bomba yang tiba cuba memberi bantuan pernafasan namun mangsa disahkan meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan pada badan mangsa tidak terdapat kesan berlaku jenayah kekerasan dan mangsa dipercayai mati akibat lemas,” katanya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply