Pelajar Gempar Almari Asrama Terbakar Ketika Bersiap Ke Sekolah | MARAN – Belum sempat meraikan sambutan Hari Guru, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 2 di sini dikejutkan dengan kebakaran yang berlaku di asrama sekolah berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.18 pagi itu, kebanyakan pelajar yang tinggal di asrama sedang bersiap untuk ke sekolah sebelum diarahkan turun ke kawasan lapang selepas kebakaran bermula dari sebuah bilik.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah almari pelajar.
“Dinding berdekatan dengan almari tersebut serta siling turut terjejas hampir lima peratus akibat kebakaran ini dan dapat dipadamkan oleh anggota bomba dengan menggunakan alat pemadam api.
“Operasi pemadaman ini melibatkan tujuh anggota daripada Balai Bomba Jengka yang bergegas ke tempat kejadian dengan dua buah jentera sejurus menerima panggilan kecemasan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Rumah Kongsi Terbakar, Pekerja Ladang Rentung | TAWAU – Seorang pekerja ladang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kongsi di kawasan estet di Kalabakan dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Sofian Aggel Ibrahim, 52, dipercayai tidak sempat keluar dari rumah berkenaan sebelum ditemukan dalam keadaan rentung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 petang melalui Balai Polis Bombalai.
Katanya, pengadu lewat melaporkan perkara itu disebabkan lokasi kejadian tiada liputan rangkaian telekomunikasi.
“Seramai empat anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 65 kilometer untuk mengambil maklumat dan pengesahan kebakaran.
“Pengadu memaklumkan telah menemui mangsa dalam keadaan rentung dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, blok rumah kongsi yang mempunyai tujuh pintu serta jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
“Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.31 petang,” katanya.
Sumber: SH