Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) cedera selepas ditumbuk di muka, ditendang sebelum disamun dan ditinggalkan di tepi jalan oleh rakan lelakinya di Jalan Kedai Mulong, sini, kelmarin.

Pelajar IPT Cedera Ditumbuk, Ditendang Selepas Disamun Rakan Sendiri

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan bengkak serta lebam di muka, hidung.

Mangsa  dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata mangsa berusia 20-an itu dikatakan keluar bersama rakan lelakinya yang juga suspek jam 10 malam kelmarin untuk makan malam di sekitar bandar di sini.

Katanya, sebaik selesai menikmati makan malam, mangsa diajak oleh suspek supaya menemaninya untuk berjumpa dengan rakan suspek di sebuah hotel.

“Semasa berada di hotel itu, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan.

“Mangsa yang takut dan curiga dengan tindakan suspek menyebabkan dia meminta suspek menghantarnya pulang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa.

“Susulan itu, suspek memberhentikan keretanya dan bertindak menumbuk serta menendang mangsa.

“Suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa sebelum meninggalkan wanita berkenaan di tepi jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian itu sebelum dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

“Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 20-an iaitu seorang anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu jam 5.30 petang semalam selepas mereka tampil menyerah diri.

“Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya kedua-dua suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply