Pelajar Sekolah Keracunan, 100 Orang Ditahan | Kementerian Dalam Negeri Iran pada Sabtu mengumumkan bahawa lebih 100 orang ditahan di 11 wilayah berhubung insiden keracunan membabitkan pelajar sekolah baru-baru ini.
Menurut kenyataan kementerian yang disiarkan di laman sesawangnya, beberapa tahanan dikatakan menggunakan bahan beracun sebagai perbuatan “nakal” untuk ponteng dan pihak berkuasa telah memberi amaran kepada mereka, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan itu beberapa lagi tahanan lain pula didapati cuba menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai dan pelajar.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
Lebih 700 pelajar di lebih 30 sekolah di seluruh Iran menjadi mangsa kes keracunan misteri sejak 30 November 2022 selepas kes pertama dilaporkan di wilayah Qom.
Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei pada Isnin menggesa penguatkuasa undang-undang untuk menahan dalang di sebalik insiden itu dan berikrar untuk memberikan hukuman maksimum kepada pelaku.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati penggunaan “bahan perangsang” tertentu dalam kalangan pelajar membawa kepada gejala keracunan di beberapa sekolah sejak beberapa minggu lalu.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Racun Misteri Menjejas 5,000 Pelajar
Racun Misteri Menjejas 5,000 Pelajar | Iran mengumumkan penahanan pertama suspek yang disyaki menjadi dalang siri keracunan misteri membabitkan 5,000 pelajar sekolah, sejak akhir November lalu.
Pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei menyeru pada Isnin supaya suspek dikesan ketika kemarahan orang ramai memuncak.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan sebilangan individu yang disyaki menghasilkan bahan berbahaya ditangkap di enam wilayah, termasuk ibu bapa seorang pelajar.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran, Majid Mirahmadi, memberitahu televisyen tempatan pada awal Selasa, badan perisikan membuat beberapa tangkapan, dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan penuh.
Sebilangan besar sekolah di Iran terkena keracunan sejak akhir November, dengan pelajar mengalami gejala sesak nafas hingga loya dan vertigo, selepas terhidu bau tidak menyenangkan di kawasan sekolah.
Insiden itu juga mengakibatkan beberapa pelajar dirawat di hospital.
Sebanyak 25 daripada 31 wilayah dan kira-kira 230 sekolah terjejas. Lebih 5,000 pelajar perempuan dan lelaki terkena keracunan.
Mohammad-Hassan Asafari, ahli jawatankuasa pencari fakta parlimen, memberitahu agensi berita Isna, Isnin lalu berkata bahawa pelbagai ujian dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan punca keracunan. Setakat ini, tiada maklumat khusus diperoleh berhubung jenis racun yang digunakan.
Keracunan misteri itu mengundang kemarahan orang ramai yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, tangkapan dibuat di wilayah Khuzestan, Azerbaijan Barat, Fars, Kermanshah, Khorasan dan Alborz.
Katanya, salah seorang daripada mereka yang ditahan didakwa menggunakan anak mereka untuk membawa ‘bahan yang merengsa’ ke sekolah, kemudian merakam video pelajar sakit bertujuan mewujudkan persepsi, menimbulkan ketakutan dan menutup sekolah.
Tiga suspek terbabit didapati mempunyai rekod jenayah termasuk pembabitan dalam ‘rusuhan baru-baru ini’, istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa Iran untuk menggambarkan protes yang dicetuskan susulan kematian Mahsa Amini.
Sumber: Harian Metro