Pelajar Sekolah Lemas Mandi Kolam

| August 22, 2020 | 0 Comments

Pelajar Sekolah Lemas Mandi Kolam | Pelajar sekolah sukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zaaba ditemui mati dipercayai lemas di Kolam Mandi Alam, Kampung Sri Kendong, Rembau, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi hasil maklumat awam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa, Wan Muhammad Diniey Adam Mohd Fazli, 14, datang bersama 10 orang rakannya dari Rantau untuk mandi di Kolam Alam sempena cuti persekolahan.

“Mereka sampai di kolam itu pada jam sekitar 9.25 pagi, sebaik sampai mereka duduk berbual-bual dan tidak lama kemudian mereka perasan mangsa tidak ada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mereka mencari dan memaklumkan kepada penjaga kolam mandi, 58, dan ternampak mangsa terapung di dalam kolam.

“Penjaga kolam itu segera mengeluarkan mangsa dari kolam sebelum menghubungi polis dan pihak hospital.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tampin dan mayat dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Rantau pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, guru mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa adalah pelatih di kelab bola sepak sejak berusia sembilan tahun.

“Arwah memang berbakat dalam sukan bola sepak dan saya melatihnya di bawah Kelab Fireball FC Rantau dan Fireball Elite (U10).

“Sebaik bersekolah menengah, arwah memasuki sekolah sukan di SMK Zaaba dan sekarang dalam tingkatan dua. Kehilangan arwah amat dirasai kerana dia boleh pergi jauh dalam sukan ini,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *